GARIS PANDUAN PERMOHONAN INSENTIF CUKAI PENGGAMBARAN FILEM ASING
GARIS PANDUAN PERMOHONAN INSENTIF CUKAI BAGI PERMOHONAN PENGGAMBARAN FILEM ASING KEPADA JAWATANKUASA PUSPAL (JK-PUSPAL)
1. Latar Belakang
Melalui Ucapan Belanjawan 2024 oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah menyatakan bahawa Kerajaan bercadang untuk menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.
1.1 Tujuan
- Garis panduan ini disediakan bertujuan bagi memberi penjelasan mengenai syarat-syarat, kelayakan dan prosedur permohonan insentif penggambaran filem asing bagi tahun 2024 hingga 2027;
- Insentif ini akan memberi penetapan kadar cukai pendapatan 10% ke atas pendapatan kasar bagi artis luar negara (ALN) dan kru asing (KA); dan
- Menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi penggambaran filem antarabangsa, berbanding pesaing serantau seperti Thailand dan Filipina;
- Meningkatkan ekonomi domestik melalui perbelanjaan dalam sektor sokongan seperti pengangkutan, logistik, penginapan, dan hospitaliti;
- Memindahkan teknologi dan kepakaran kepada tenaga kerja tempatan dalam bidang perfileman dan produksi; dan
- Memperluaskan promosi Malaysia sebagai lokasi perfileman bertaraf dunia.
2. Objektif
Pelaksanaan insentif penggambaran filem asing ini adalah bagi:
- menarik lebih banyak syarikat asing untuk membuat penggambaran di negara ini yang akan memberi faedah dari segi mempromosi negara sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa;
- mengekalkan daya saing negara sebagai destinasi penggambaran filem asing yang menjadi pilihan di peringkat serantau berbanding negara-negara jiran seperti Thailand dan Filipina dengan memudahcara pemain industri melalui pemberian layanan insentif cukai;
- meningkatkan kadar perbelanjaan dan pelaburan langsung asing dalam industri perfileman yang memberikan kesan limpahan kepada sektor pengangkutan, perhotelan, pembinaan dan pertukangan, makanan dan minuman, pakaian, serta perkhidmatan perniagaan;
- membangunkan kapasiti dan menaiktaraf kepakaran tenaga produksi tempatan melalui proses latihan dalam pekerjaan dan pemindahan teknologi sekaligus menyediakan peluang pekerjaan kepada lepasan institut kemahiran teknikal dan vokasional negara; dan
- menyokong matlamat dasar Kerajaan untuk mengembangkan sektor perkhidmatan khususnya berkaitan industri kreatif negara sebagai industri strategik dan berimpak tinggi yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
3. Kelayakan Permohonan
3.1 Pemohon yang LAYAK memohon insentif ini adalah seperti berikut :
- Hanya Syarikat Produksi Filem Tempatan (SPFT) yang telah berdaftar dengan PUSPAL sahaja layak mengemukakan permohonan; dan
- Mana-mana Wakil Produksi yang dilantik mewakili pihak SPFT hendaklah mengemukakan surat perwakilan kuasa semasa menghantar permohonan.
3.2 Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut :
- Kos Minimum Projek: Projek penggambaran filem asing perlu mempunyai kos pengeluaran sekurang-kurangnya RM500,000;
- Tempoh Penggambaran: Projek mesti dijalankan di Malaysia untuk tempoh minimum 30 hari; dan
- SPFT dan/atau Wakil Produksi hendaklah mempunyai nombor cukai pendapatan yang telah didaftarkan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
4. Kaedah Permohonan
- Permohonan adalah secara dalam talian (online) melalui e-mel puspal+insentif@komunikasi.gov.my.
- Dokumen permohonan adalah digalakkan dalam Bahasa Melayu.
- Pemohon diwajibkan untuk mengemukakan satu (1) salinan cetak (hardcopy) kepada urus setia di Kaunter PUSPAL sebaik sahaja memohon secara dalam talian (online) dalam tempoh tiga (3) hari. Walau bagaimanapun, permohonan akan diproses mengikut tarikh permohonan yang dibuat secara dalam talian (online).
5. Syarat-syarat Permohonan
- Syarikat produksi tempatan yang berminat untuk memohon insentif cukai bagi permohonan penggambaran filem asing kategori filem, drama, siri dokumentari, filem pendek, rancangan realiti TV dan rancangan permainan (game show) PERLU mengemukakan dokumen secara dalam talian kepada JK-PUSPAL seperti butiran di LAMPIRAN 1 (SENARAI SEMAK BAGI PERMOHONAN INSENTIF CUKAI BAGI PERMOHONAN PENGGAMBARAN FILEM ASING KEPADA JAWATANKUASA PUSPAL (JK-PUSPAL)).
- Syarikat produksi tempatan perlulah mengemukakan senarai nama ALN dan KA yang akan terlibat (termasuk tempoh keberadaan di Malaysia) beserta perincian jumlah kos projek seperti di LAMPIRAN 2.
- Dokumen-dokumen yang dinyatakan di atas boleh dimuat turun melalui pautan https://shorturl.at/QWNmz.
6. Proses Permohonan
6.1 Aliran proses permohonan insentif penggambaran filem asing ini boleh dirujuk kepada carta alir seperti di LAMPIRAN 3.
6.2 Permohonan mesti dihantar 60 hari sebelum tarikh penggambaran dimulakan. Permohonan lewat tidak akan dipertimbangkan.
7. Kadar Insentif
Kadar Cukai Pendapatan: Ditetapkan pada 10% ke atas pendapatan kasar yang diperoleh oleh artis luar negara (ALN) dan kru asing (KA) semasa penggambaran di Malaysia.
8. Tanggungjawab Pemohon
Maklumat yang dinyatakan dalam permohonan adalah tepat dan betul. Pemohon bertanggungjawab sepenuhnya ke atas syarat-syarat seperti berikut:
- wajib mengemukakan laporan lengkap selepas projek tamat dalam tempoh 14 hari;
- mesti memastikan kelancaran penggambaran dan memberi kerjasama kepada JK-PUSPAL bagi tujuan pemantauan;
- mengutip cukai bagi orang asing dan mematuhi syarat yang ditetapkan; dan
- sebarang ketidakpatuhan syarat insentif akan ditanggung oleh pemohon.
9. Keputusan
Keputusan permohonan insentif ini akan dimaklumkan secara bertulis kepada pemohon dalam tempoh selewat-lewatnya 15 hari sebelum tarikh penggambaran bermula.
10. Penguatkuasaan dan Pemantauan
10.1 Jawatankuasa PUSPAL berhak menjalankan audit ke atas mana-mana projek untuk memastikan pematuhan.
10.2 Kegagalan mematuhi syarat boleh menyebabkan insentif ditarik balik dan tindakan dikenakan ke atas syarikat produksi.
10.3 Jika pemohon didapati memberikan maklumat palsu, insentif akan dibatalkan dan tindakan undang-undang boleh diambil. Pemohon juga tidak akan dipertimbangkan insentif cukai untuk projek penggambaran seterusnya.
10.4 Garis Panduan permohonan insentif cukai ini berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2027.
Disediakan oleh:
Unit PUSPAL
Bahagian Pembangunan Kandungan
Kementerian Komunikasi